Perkembangan pesat industri muzik digital - Siapa paling untung?
SUATU ketika dulu industri syarikat rakaman Malaysia sama ada label antarabangsa mahupun tempatan masing-masing rancak melahirkan artis dan album baru.
Bagaimanapun, akhir-akhir ini industri rakaman yang dulunya gah kini semakin hari semakin menyembah bumi.
Buktinya, banyak syarikat rakaman tempatan mahupun antarabangsa terpaksa gulung tikar dan menutup operasi mereka atas alasan tiada keuntungan.
Memang ada benarnya alasan yang diberi kerana senario hari ini jauh berbeza daripada zaman muzik piring hitam, kaset dan cakera padat yang menyaksikan ia dijual hingga beratus ribu unit.
Penyanyi-penyanyi ternama yang pernah mencecah 100,000 hingga 350,000 unit penjualan album antaranya, Aishah, Ramlah Ram, Ella, Amelina, Datuk Siti Nurhaliza, Awie, Ziana Zain, Search, Wings, U.K's, Raihan dan M. Nasir
Kini penjualan album dilihat semakin nazak. Sekarang jika 5,000 unit album sudah terjual ia dikatakan sudah cukup bagus. Itupun mungkin memakan masa yang agak lama untuk dijual walaupun promosi diadakan secara besar-besaran.
Namun, bukan semua penyanyi hilang mata pencarian seiring dengan kejatuhan syarikat rakaman dan kekurangan penjualan album.
Mereka masih lagi boleh bernafas kerana kini muzik boleh diperoleh hanya menekan butang dihujung jari menerusi Internet iaitu dengan muat turun lagu.
Caranya cukup mudah dengan harga sekitar RM3, peminat dengan mudah boleh mendengar lagu kegemaran mereka melalui pelbagai jenis medium mengikut keselesaan masing-masing telefon bimbit, cakera padat, iPod, MP3 dan sebagainya berbanding membeli album penyanyi tempatan yang berharga di antara RM19.90 sehingga RM29.90.
Bercakap tentang sejarah muat turun lagu di negara ini, ia dikatakan bermula sejak teknologi telefon bimbit 2G atau 2.5G yang mula diperkenalkan di Malaysia pada penghujung tahun 1990-an.
Sejak itu ia berkembang dengan pesat seiring dengan kecanggihan teknologi komputer dan telefon bimbit.
Kini, peminat muzik tidak perlu lagi membeli keseluruhan album sebaliknya boleh memilih mana-mana lagu yang diminati sahaja untuk dimuat turun.
Berdasarkan maklumat yang diperolehi daripada Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) yang kini menaungi 102 syarikat rakaman di negara Malaysia industri seni melalui penjualan melalui medium fizikal seperti kaset, cakera padat, VCD dan DVD pada tahun 1996 telah membawa keuntungan sehingga RM315 juta.
Kemudian angka keuntungan medium fizikal itu semakin menurun tahun demi tahun iaitu RM200 juta (2000), RM108 juta (2002), RM97 juta (2005), RM69 juta (2007) dan terus menurun sehingga RM56 juta pada tahun lalu.
Bagaimanapun keuntungan jualan menerusi medium digital iaitu muat turun ke telefon bimbit dan Internet telah mula meraih keuntungan sejak tahun 2005 dengan pulangan sebanyak RM50 juta.
Angka keuntungan terus meningkat sehingga RM20 juta pada tahun lalu dan dijangka bakal membawa pulangan berganda pada tahun ini ekoran kegiatan aktif syarikat rakaman dalam produk digital meskipun penghasilan album tempatan semakin berkurangan.
Ia dapat dilihat dengan jelas apabila pada tahun 2005 hanya 106 unit album tempatan dilahirkan dan ia semakin berkurangan kepada 55 unit album pada tahun lepas.
Pengurangan penghasilan album tempatan dan peningkatan keuntungan menerusi produk digital ada hubung kait dengan perkembangan dan trend yang dibentuk untuk penggemar muzik masa kini.
Persoalannya di sini siapakah antara penyanyi, syarikat rakaman dan syarikat telekomunikasi yang mengaut paling banyak keuntungan daripada muat turun lagu?
Sistem tidak adil! - M.Nasir
Menurut penyanyi dan sifu M.Nasir, sejak zaman piring hitam lagi penyanyi tidak pernah mengaut keuntungan terbesar daripada penjualan album dan yang terkini muat turun lagu.
"Walau apa caranya, penyanyi akan mendapat bahagian yang paling sedikit atas alasan pihak syarikat rakaman dan pembekal sistem muat turun telah mengeluarkan modal yang cukup besar berbanding penyanyi yang hanya mengeluarkan suara.
"Mereka tidak pula kira penyanyi yang telah mengeluarkan bakat dan risiko besar juga menanti penyanyi cuma yang bezanya ia bukan dari segi wang ringgit sebaliknya jiwa penyanyi itu sendiri.
Tambah M. Nasir lagi, sistem yang diguna pakai kini memang tidak adil buat penyanyi kerana setiap penyanyi yang mengambil keputusan untuk menghasilkan album atau lagu akan mempunyai risiko kerosakan jiwa.
"Orang berniaga jual lagu dengan wang, penyanyi jual lagu dengan jiwa. Bayangkan apabila lagu yang dikeluarkan tidak laku atau kurang pulangannya, jiwa mereka akan rosak bukan untuk jangka masa yang sekejap sebaliknya mungkin sepanjang hayat. Itu yang orang tak nampak," katanya.
Bagaimanapun, M. Nasir menegaskan, dia tidak pernah menolak penyatuan teknologi dan muzik meskipun pernah melalui beberapa zaman bermula daripada piring hitam, kaset dan cakera padat sehingga muat turun lagu.
Menurutnya lagi, setiap bentuk muzik sama ada fizikal mahupun digital mempunyai kelebihan yang tersendiri yang tidak perlu dipertikaikan kerana kelahiran setiap bentuk teknologi adalah bersesuaian mengikut zaman.
"Sememangnya (muzik) bentuk digital iaitu yang dimuat turun berbeza kepuasannya dengan bentuk muzik yang dijual secara fizikal. Kalau digital mereka hanya mendengar lagu yang popular di radio sahaja dan terus berminat untuk muat turun lagu tersebut bukannya keseluruhan album.
"Tetapi cara ini bagus juga kerana muzik boleh sampai dengan kadar segera kepada peminat dengan kos yang agak murah tanpa perlu ke kedai muzik. Apa yang perlu hanya promosi di radio dan media sahaja," ulas M.Nasir.
Penyanyi harus bijak - KC Ismail
Berbeza pula pendapat yang diberi oleh Pengurus Kanan Metadome Sdn. Bhd. KC Ismail yang memberitahu penyanyi masih boleh meraih keuntungan yang besar mengikut perjanjian yang dibuat dengan sesebuah syarikat.
Katanya, sepanjang pengalamannya bekerja di Metadome yang merupakan antara syarikat rakaman pelopor muat turun lagu di negara ini, tiada istilah penyanyi akan rugi atau tidak untung jika lagunya dijual secara digital.
"Penyanyi harus bijak membuat perjanjian dengan meneliti segala aspek terutama jika penyanyi itu yang mencipta dan menerbit lagu.
"Kalau mereka silap langkah tidak mustahil keuntungan mereka sedikit tetapi itu pun mengikut kepada jumlah muat turun yang diterima.
"Kalau banyak muat turun yang dibuat peminat, maka bergandalah keuntungan yang diperolehi. Sebenarnya banyak faktor yang menyumbang kepada keuntungan daripada muat turun lagu," jelasnya.
KC turut mengakui, penjualan muat turun lagu lebih membawa keuntungan berbanding jualan album fizikal pada masa kini.
Katanya, kumpulan 6ixth Sense yang diuruskan penjualan lagu digital oleh Metadome telah dimuat turun lagu mereka sehingga mencecah ratusan ribu unit berbanding penjualan album yang tidak lebih daripada 1,000 unit.
"Sekarang penyanyi mempunyai dua pilihan sama ada pilih secara digital atau fizikal. Hakikatnya cara fizikal tetap diperlukan juga walaupun susah untuk menjualnya.
"Selain itu kos yang lebih tinggi diperlukan sebagai contoh lebih kurang RM10,000 untuk 500 hingga ke 1,000 unit cakera padat.
"Sebab itu ramai yang pilih cara digital hanya dengan mengeluarkan satu lagu single, kemudian tunggu dan lihat reaksi peminat sebelum keluar dengan lagu single seterusnya sehinggalah mempunyai cukup jumlah lagu untuk disatukan sebagai album penuh," tuturnya.
Disebabkan faktor kos dan permintaan, hampir kesemua penyanyi di bawah Metadome seperti Nurul, Imran Ajmain, Liyana Jasmay, The Fabulous Cats dan Diana Dianelle tampil terlebih dahulu dengan lagu single dalam bentuk digital sebelum mempunyai album penuh.
Siapa kata tak untung? - Aizat
Penyanyi remaja yang baru sahaja memenangi dua anugerah pada Anugerah Planet Muzik 2009 bagi kategori Persembahan Vokal Terbaik Dalam Lagu (Artis Baru Lelaki) dan Lagu Muat Turun Paling Popular Malaysia kedua-duanya menerusi lagu Hanya Kau Yang Mampu memberitahu cara digital turut memberi pulangan yang cukup lumayan.
Aizat yang menerbitkan sendiri lagu-lagunya menerusi syarikat miliknya sendiri iaitu Kasi Gegar Entertainment Sdn. Bhd. juga bekerjasama dengan syarikat rakaman Universal Music Malaysia untuk penjualan lagu secara digital atau muat turun, pengedaran, pemasaran dan promosi.
Meskipun dia masih hijau dalam persada seni tanah air, lagu-lagu dendangannya seperti Lagu Kita dan Fikirlah menjadi kegilaan ramai.
Jangan terkejut kerana berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada Universal Music Malaysia, muat turun lagu Aizat telah mencecah sehingga 1.2 juta unit, satu angka yang cukup besar buat seorang penyanyi baru.
"Saya untung kerana kesemua lagu yang dimuat turun diterbitkan oleh syarikat saya sendiri.
"Cuma ada kerjasama dengan Universal dan bukannya artis rakaman mereka. Keuntungan harus ditolak mengikut perjanjian dan masih ada untungnya. Mungkin untuk album kedua kelak saya akan cuba lakukan semuanya sendiri," ujarnya.
Dalam pada itu, Aizat juga sempat melahirkan kekesalannya terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab apabila memuat turun lagu penyanyi tempatan secara haram.
"Kalau nada dering memang tidak boleh dicetak rompak kecuali lagu penuh yang diletakkan di Internet dan dimuat turun secara percuma oleh orang ramai.
"Bagi saya kalau benar-benar suka akan sesebuah lagu, apa salahnya labur sedikit duit untuk mendapatkan lagu itu dengan cara yang betul. Sokonglah industri muzik tempatan," tegas Aizat.